Home / Berita / Sindrom ‘patah hati’ boleh sebabkan lemah jantung kekal

Sindrom ‘patah hati’ boleh sebabkan lemah jantung kekal

LONDON – Sindrom ‘patah hati’ atau ‘takotsubo’ dan tekanan emosi boleh menyebabkan kerosakan jantung sama seperti serangan sakit jantung.

Kumpulan penyelidik Universiti Aberdeen di sini dalam kajiannya terhadap 3,000 orang dewasa yang menghidap sindrom takotsubo mendapati keadaan ter­sebut akan melemahkan jantung secara kekal.

Kajian tersebut yang merupakan kajian paling lama melibatkan 37 pesakit yang menghidap sindrom itu selama dua tahun.

Mereka melaksanakan ujian imbasan bunyi dan imbasan MRI pada jantung pesakit dan mendapati terdapat kerosakan yang telah lama selepas mereka me­ngalami sindrom berkenaan.

Ramai pesakit mudah letih dan tidak boleh melakukan se­naman walaupun doktor memberi harapan mereka akan sembuh.

Para penyelidik terbabit ber­ka­ta, pesakit perlu diberi ubat yang sama seperti yang diberi kepada pesakit yang mengalami kerosakan jantung akibat sera­ngan sakit jantung.

Mereka telah pun membentangkan hasil kajian itu di Sesi Saintifik Pertubuhan Jantung Amerika di Anaheim, California.

Ketua Penyelidik, Dr. Dan Daw­son berkata, kajian itu adalah yang paling lama melibatkan sindrom takotsubo dan jelas menunjukkan kesan kekal pada jantung pesakit.

“Hasil penyelidikan itu me­nunjukkan sindrom takosubo perlu dirawat segera seperti ma­na-mana penyakit jantung lain dan pesakit perlu mendapat ra­watan berterusan ekoran kesan jangka panjang ini,” katanya yang dilaporkan portal Daily Mail.

Golongan wanita dilaporkan sering mengalami masalah ber­kenaan berbanding golongan le­la­ki dan dipercayai banyak kes telah berlaku tanpa sebarang laporan.

Pengarah Perubatan Bersekutu, Yayasan Jantung Britain, Profesor Jeremy Pearson berkata, takotsubo merupakan penyakit bahaya yang boleh menyerang secara tiba-tiba.

“Kami menyangkakan kesan penyakit yang mengancam manusia ini bersifat sementara namun kini kita dapat lihat ia berterusan mempengaruhi kehidupan manusia,” katanya.

Penyakit itu mula dikesan di Jepun sekitar tahun 1990-an.

Share Button

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*