Home / Blog Malay Version / Menikmati pelayaran ke pulau Kornati

Menikmati pelayaran ke pulau Kornati

Pulau Kornati di Lautan Adriatik menjadi syurga para pelancong menikmati keindahan flora dan faunanya.

AMAN Negara Kornati yang terletak di Lautan Adriatik di Dalmatia, Croatia merupakan kepulauan terindah yang dikurniakan Tuhan kepada makhluk manusia di muka bumi ini untuk disyukuri kewujudannya.

Catatan istimewa itu ditinggalkan oleh sasterawan terkenal Inggeris, George Bernard Shaw yang pernah melawat pulau syurga di Kornati dengan ungkapan ini: “Pada hari terakhir penciptaan bumi, Tuhan ingin memahkotakan pekerjaan-Nya, kemudian menciptakan pulau-pulau Kornati dari air mata, bintang dan udara…”

Jika dilihat dari udara, deretan Pulau Kornati yang menghiasai Lautan Adriatik ini seakan-akan mutiara yang bertebaran di dada lautan.

Namun begitu tiada manusia yang dibenarkan menetap di kepulauan ini setelah diisytiharkan sebagai Taman Negara Kornati.

Untuk sampai ke Pulau Kornati, para pelancong perlu menaiki cruise dari kota Zadar yang memakan masa antara empat hingga lima jam perjalanan bergantung kepada keadaan cuaca.

Kami bertolak dari Zadar bermula seawal pukul 8.00 pagi merentasi lautan membiru ke Pulau Kornati yang membuatkan ramai mengantuk dan mengambil peluang melelapkan mata seketika atau berbual-bual sesama rakan.

Sepanjang perjalanan kami dapat melihat deretan pulau-pulau yang membentuk Pulau Kornati sesayup mata memandang.

Untuk menikmati keindahan Pulau Kornati bak sebuah syurga idaman, pelawat dibenarkan berada ditingkat atas cruise bagi merakam pemandangan menakjubkan sepanjang perjalanan.

Rata-rata pasangan yang menaiki cruise ini tidak melepaskan peluang berselfie bagi mengabadikan momen indah masing-masing untuk di bawa pulang.

Kebanyakkan pelancong yang datang ke sini terdiri daripada pelawat dari Eropah, United Kingdom dan negara Balkan yang sukakan keindahan pulau-pulau di sini yang menakjubkan.

Pulau Kornati yang terdiri daripada deretan 140 buah pulau terindah dan belum pernah diusik, sememangnya tenang dan damai serta memukau pandangan sesiapa saja yang berkunjung ke sini.

Setelah mengharungi perjalanan selama kira-kira empat jam, kami sampai pukul 11.45 dan di bawa melihat keindahan tasik garam di tengah-tengah Lautan Adriatik.

Setelah bersantai beberapa ketika di tasik garam dan berehat dibawah pohon zaitun, kami dibawa melihat sebuah pulau berbentuk hati. Kami menikmati makan tengah hari di Pulau Katina salah sebuah pulau kecil yang landai terdapat di Kornati.

Pelbagai hidangan laut yang segar disajikan di Pulau Katina ini mengikut permintaaan pelancong seperti ketam, sotong, udang, ikan bakar atau ayam panggang enak dibakar begitu sahaja.

Kawasan perairan Kornati terdiri daripada pulau-pulau kecil dan batuan sepanjang 300 kilometer persegi dengan kelebaran 13 kilometer pula kaya dengan pelbagai jenis spesies ketam, ikan, alga, siput dan terumbu karang.

Khazanah di Pulau Kornati

Telascica Bay Nature Park, antara kawasan tumpuan pelancong dari seluruh dunia kerana teluknya terlindung selain dihiasi dengan sepuluh buah pulau kecil. Variasi flora dan faunanya yang pelbagai di pulau ini menambahkan lagi keistimewaan teluk ini.

Airnya yang jernih lantaran tidak berpasir dan hanya terdapat batu batan menyebabkan para penyelam dapat melihat dengan jelas keindahan terumbu karang beraneka warna, selain ikan berwarna warni.

Ramai penyelam menyatakan kawasan perairan di Kornati antara yang tercantik di Lautan Adriatik.

Maka itu tidak hairanlah, kebanyakan kawasan teluk di perairan Kornati yang menjadi destinasi cruise mewah berlabuh di sini berminggu-minggu bahkan ada yang berbulan-bulan lamanya menikmati keindahan syurga duniawi. Pelawat yang melawat ke Pulau Kornati memiliki privasi sepenuhnya tanpa sebarang gangguan. Malah kebanyakan pekerja cruise di Pulau Kornati turut mengambil peluang menyewakan peralatan snoorkling, scuba, jet ski dan peralatan memancing bagi mempelbagaikan aktiviti pelancongan di sini.

Malah kami diberitahu terdapat pengunjung berumah di dalam cruise yang disewa dan tidak mahu pulang lantaran merasai ketenangan dan jauh dari kesibukan duniawi. Benarlah seperti kata George Bernard Shaw, Kornati pulau terindah yang pernah dilawati sepanjang hayat.

Pastinya, pulau-pulau di Kornati menjadi syurga pasangan kekasih untuk berbulan madu ke sini selain menghabiskan hari terindah dalam episod hidup masing-masing.

Share Button

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*