Home / Sukan / Paulinho pemusnah Uruguay

Paulinho pemusnah Uruguay

MONTEVIDEO 24 Mac – Paulinho tidak menyangka mampu meledak tiga gol dalam aksi kelayakan Piala Dunia selepas hatriknya membantu Brazil membenam Uruguay 4-1, sekali gus menghampiri tiket ke Rusia, tahun depan.

PAULINHO (kiri) meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan, Philippe Coutinho ketika membantu Brazil menumpaskan Uruguay 4-1 dalam kelayakan Piala Dunia 2018 di Montevideo, semalam. AP

Kemenangan di Estadio Centenario, Montevideo hari ini membolehkan skuad bimbingan Tite menerajui kempen kelayakan zon Amerika Selatan dengan mengumpul 30 mata daripada 13 perlawanan.

Uruguay kekal di tempat ke­dua menerusi 23 mata, diikuti Argentina (22) dan Colombia (21).

Empat pasukan teratas layak secara automatik ke pusingan akhir Piala Dunia 2018 manakala pasukan tangga kelima, yang kini diduduki Ecuador perlu mengharungi saingan playoff.

Jarang menyerlah bersama skuad kebangsaan, Paulinho, 28, yang berpangkalan dalam Liga Super China bersama Guangzhou Evergrande Taobao bagaimanapun mempamer prestasi sensasi dengan meledak hatrik pada minit ke-18, 51 dan 92.

Tuan rumah bagaimanapun terlebih dulu bermula garang apabila membuka jaringan menerusi bintang penyerang, Edinson Cavani hasil sepakan penalti seawal minit kesembilan.

Namun, sebaik sahaja Paulinho berjaya menyamakan kedudukan, Brazil tidak lagi menoleh ke belakang.

Juara Piala Dunia lima kali itu turut meledak gol menerusi penyerang Barcelona, Neymar pada minit ke-74.

“Saya tidak pernah bermimpi akan meledak hatrik dan membantu pasukan kebangsaan me­raih tiga mata dalam perlawanan yang sangat penting.

“Kami sedar betapa sukarnya perlawanan ini kerana perlu ber­aksi di Uruguay, malah memulakan permainan de­ngan ke­tinggalan 0-1. Namun, ketena­ngan dan fokus yang ditunjukkan sepanjang saingan membolehkan kami melakar keputusan hebat

“Apa pun, saya tidak mahu terlalu terbawa-bawa dengan kemenangan kerana kami masih belum layak.

“Apabila sudah layak nanti, barulah boleh meraikan kejayaan,” kata Paulinho, yang juga bekas pemain tengah Tottenham.

Sementara itu, jurulatih Uruguay, Oscar Tabarez mengakui, dibelasah oleh Brazil di depan penyokong sendiri adalah keputusan yang sangat menyakitkan.

Kekalahan itu menyaksikan Uruguay tewas dalam kelayakan Piala Dunia buat kali pertama sejak 2009, malah menamatkan rekod 14 perlawanan tanpa kalah.

“Ia sangat menyakitkan. Walaupun kami semua adalah profesional, namun kami juga punya perasaan dan apabila gagal mendapat keputusan yang dimahukan, ia cukup melukakan.

“Kadangkala, kekalahan se­perti ini memberi gambaran jelas di mana kedudukan kami yang sebenar.

“Anda tidak tahu apa yang akan berlaku dalam bola sepak dan ia (keputusan ini) bukan kemungkinan yang saya harapkan.

“Tiada apa lagi yang hendak diperkatakan. Brazil bertahan dengan amat baik dan mereka juga menyerang dengan bagus,” katanya.

Uruguay perlu segera melupakan kekalahan itu kerana bakal berdepan satu lagi tugas besar apabila bertandang ke Peru, Selasa ini manakala Brazil pula akan menerima kunjungan Paraguay di Sao Paulo. – AGENSI

Share Button

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*