Home / Sukan / Brunei DPMM FC sambar Zeljko

Brunei DPMM FC sambar Zeljko

Pasukan Brunei DPMM FC mengikat pemain pertahanan baru dari Serbia, Zeljko Savic dengan kontrak sehingga Jun 2017 ini sebagai pengganti kepada Francois Marque, yang hanya menyumbang tenaga selama 32 minit bersama Brunei DPMM FC kerana cedera.

Pemain import baru Brunei DPMM FC, Zeljko Savic, yang dijangka memperkukuhkan lagi barisan pertahanan.

Pemain berusia 29 itu berkata ini merupakan pengalaman pertamanya di Asia dan teruja untuk bermain untuk Brunei DPMM FC.

“Saya gembira untuk berada di Asia dan malah bangga menjadi pemain antara kelab terbaik Liga Singapura (Liga-S) iaitu Brunei DPMM FC,” katanya.

Ketika bekas pemain pertahanan tengah PS Kemi itu menghadiri sesi latihan pertamanya, dia tahu bahawa dia telah menyertai kelab yang tepat.

“Dua pemain import lain dalam pasukan sudah menjalani persiapan pra musim, dan aktiviti berkenalan bersama pasukan, jadi saya bimbang akan menghadapi saat sukar menyesuaikan diri. Namun, para pemain, jurulatih dan pengurusan begitu mesra dan begitu mengalu-alukan seolah-olah saya sudah menyertai kelab sebelum bermulanya musim ini.”

Selain pernah bermain di negara asalnya Serbia, Zeljko telah mengukir kerjaya hebat di Finland, di mana dia telah membantu SJK Seinäjoki meraih gelaran Veikkausliiga (liga teratas Finland) pada 2015 dan Piala Liga setahun sebelumnya.

“Saya begitu teruja dengan kerja keras rakan sepasukan ketika latihan. Azam mereka untuk menang adalah sangat penting, saya akan berjuang dan memberikan yang terbaik dalam setiap perlawanan. Kelab telah memberikan saya amanah bagi memberikan kepimpinan di bahagian pertahanan. Saya mahu membantu Brunei DPMM FC menamatkan di kedudukan tiga teratas dalam liga kerana ia selayaknya berada di sana.”

Pengurus Pasukan Brunei DPMM FC, Mohd Ali bin Haji Momin menyatakan harapan kelab daripada pemain Serbia itu.

“Kami harap Zeljko mampu memberikan motivasi kepada pemain tempatan dalam setiap perlawanan dan membantu memperkukuhkan bahagian pertahanan .

“Kehadiran Zeljko diharap akan membantu pasukan kita mengurangkan jumlah jaringan oleh pihak lawan sepanjang liga ini,” jelas Mohd Ali ketika ditemui di Stadium Mini Jerudong. – Media Permata –

Share Button

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*