Home / Sukan / Simbol keamanan

Simbol keamanan

Yang Berhormat Pehin bergambar ramai dengan panel atlet-atlet negara serta para jemputan khas di majlis berkenaan.

Sukan Komanwel 2018 akan berlangsung di Gold Coast, Australia di mana ia bakal menyaksikan atlet dari negara-negara Komanwel beraksi bukan sahaja untuk merebut gelaran terbaik dalam pelbagai acara sukan di kalangan negara-negara Komanwel tetapi juga untuk bertanding dengan penuh semangat kesukanan serta persahabatan.

Sehubungan dengan itu, Suruhanjaya Tinggi British dan Suruhanjaya Tinggi Australia di Negara Brunei Darussalam bersama-sama mengadakan Majlis Minggu Komanwel dan Pelancaran Larian Queen’s Baton yang berlangsung di Sekolah Sukan, Berakas, hari ini.

Hadir selaku tetamu kehormat di majlis berkenaan ialah Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Haji Suyoi bin Haji Osman.

Turut hadir ialah Timbalan Menteri Pendidikan, Pengiran Dato Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar, Pesuruhjaya Tinggi British ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama David Campbell, Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Negara Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Nicola Rosenblum, pesuruhjaya-pesuruhjaya tinggi dari negara-negara sahabat, pegawai-pegawai kanan Kementerian Pendidikan dan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan serta para pelajar sekolah-sekolah jemputan.

Dalam kata alu-aluannya, TYT David Campbell menyatakan bahawa Larian Queen’s Baton membawa simbol dan mesej keamanan selaras dengan nilai-nilai serta tema Hari Komanwel, ‘A peace building Commonwealth’.

Pelajar-pelajar yang menghadiri majlis berkenaan.

Sementara itu, PYT Nicola Rosenblum menyentuh mengenai dengan Sukan Komanwel 2018 di Gold Coast, Australia dan Larian Queen’s Baton di mana rakyat dan penduduk Australia amat gembira untuk mengalu-alukan atlet-atlet dari negara-negara Komanwel termasuk Negara Brunei Darussalam ke temasya sukan berprestij pada 2018 nanti.

Sukan itu, jelasnya lagi, berperanan untuk menyatupadukan negara-negara Komanwel menerusi pertandingan persahabatan dan keamanan di mana Australia amat bangga bahawa Larian Queen’s Baton bagi Sukan Komanwel 2018 merupakan larian yang terpanjang dalam sejarah sukan berkenaan di mana ia akan singgah dan melawat ke semua negara dan wilayah-wilayah Komanwel sepanjang penjelajahannya selama 388 hari.

Beliau mendedahkan lagi bahawa Suruhanjaya Tinggi Australia di Negara Brunei Darussalam akan bekerjasama rapat dengan Majlis Olimpik Kebangsaan Negara Brunei Darussalam untuk mengalu-alukan kehadiran Larian Queen’s Baton ke Brunei pada Oktober nanti.

Majlis itu diserikan lagi dengan sesi ceramah dan perkongsian daripada empat orang atlet Negara Brunei Darussalam yang pernah mewakili negara ke Sukan Komanwel dan Sukan Belia Komanwel yang dikendalikan oleh Penolong Pengetua (Sukan), Sekolah Sukan, Awang Azrin bin Aji dengan panel atlet yang terdiri daripada Awang Muhammad I’maadi bin Abdul Aziz, atlet negara yang beraksi dalam Sukan Komanwel 2014, Awang Muhammad ‘Ammar Safwan bin Haji Zaidin, Awang Muhammad Wafiq bin Kifli dan Dayang Ernie Sahrina Abdul Fattah, atlet-atlet negara yang beraksi dalam Sukan Belia Komanwel 2015.

Pelancaran bagi Larian Queen’s Baton telah disempurnakan pada Hari Komanwel pada 13 Mac lalu oleh Ratu Elizabeth II di Istana Buckingham. – Media Permata –

Share Button

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*